SENARIO mahu dikenali sebagai ‘SENARIOUNION’ (petikan dari portal GEMPAQ)
Kumpulan pelawak yang pernah popular pada tahun 90an, Senario kini mahu dikenali dengan Senariounion.
Salah seorang anggotanya, Saiful Apek memberitahu Senariounion merupakan nama yang digunakan untuk enam ahli itu membuat ‘reunion’.
“Sebenarnya selepas kami tidak terikat dengan salah sebuah stesen televisyen, kami terus bergerak aktif bersama memenuhi undangan pelbagai acara.
“Jadi kami fikir untuk buat ‘reunion’ kami menggunakan nama Senariounion dan menghasilkan sebuah album dahulu, sebagai langkah pertama.
“Setakat ini kami sempat merakamkan empat buah lagu dalam album tersebut,” katanya kepada Gempak.
Senariounion kini dianggotai oleh Hamdan, Wahid, Ilya, Yassin, Saiful dan Azlee.
Apabila ditanya mengenai seorang lagi anggota Senario sebelum ini iaitu Lan Pet Pet, Saiful memberitahu Lan tidak dapat menyertai kerana komitmen lain.
“Sebenarnya ramai juga tanya ke mana hilangnya Lan Pet Pet. Lan tidak dapat bersama biasanya kerana dia mempunyai komitmen lain seperti perniagaan dan sebagainya.
“Sudah banyak kali juga dia bersetuju untuk menyertai kami tetapi pada saat akhir ia terdapat perlanggaran tarikh dengan komitmen kerjanya yang lain.
“Jadi buat masa sekarang, hanya kami berenam sahaja,” jelasnya lagi.
“Perancangan lain selain menyiapkan album kami, format2 lain juga akan menyusul seperti sitkom, konsert, filem dan sebagainya.
“Terbaharu, kami juga ada perancangan untuk muncul dengan sebuah filem bersama pengarah Aziz M. Osman tetapi semuanya masih lgi di peringkat awal,” katanya lagi.
Senariounion bakal muncul dalam program ‘Raya Style Kite’ pada malam Hari Raya kedua di TV2 RTM, yang mana mereka bakal mempersembahkan dua buah lagu Raya serta persembahan sketsa.
Saiful dan Azlee juga bakal muncul dalam filem ‘Syif Malam Raya’ buat pertama kalinya ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 21 Mei 2020.
Selain Saiful dan Azlee, ‘Syif Malam Raya’ turut menampilkan bintang sosial media iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly serta barisan pelawak seperti kumpulan Zero iaitu Atu, Sharif dan Syaiful, Danial LS, Ropie & ramai lagi 😎